Negara-negara anggota G7 akan mengumumkan bantuan bagi menangani krisis dasar keselamatan makanan global berjumlah lebih 4.5 bilion dolar.

Amerika Syarikat dijangka menyalurkan pembiayaan tambahan bernilai 2.76 bilion dolar bagi membantu melindungi golongan paling rentan di dunia, sekali gus mengurangkan impak daripada krisis Rusia-Ukraine.

Sebanyak 2 bilion dolar akan disalurkan untuk bantuan kecemasan.

Manakala 760 juta dolar digunakan untuk bantuan makanan jangka pendek bagi mengurangkan kadar kemiskinan, kebuluran dan kekurangan zat.

Bantuan akan disasarkan kepada negara-negara yang terjejas akibat harga makanan, baja dan bahan api yang tinggi.

Pelaburan itu bertujuan menyokong usaha lebih 47 negara dan organisasi serantau menangani kekurangan baja dan pembelian biji benih.

Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika memperuntukkan 640 juta dolar bagi menyokong program pertanian dan keselamatan makanan, demi mengukuhkan kapasiti dan daya tahan sektor pertanian di lebih 40 negara.

Menurut White House, Amerika telah menyediakan 2.8 bilion dolar bagi bantuan bekalan makanan kecemasan di negara-negara yang terjejas akibat krisis makanan yang dilanda perang.