Pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui tiga program tidak perlu lagi menjalani ujian COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) selepas ketibaan, bermula Khamis ini.

Mereka ialah pengembara yang  memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan Pusat Sehentian (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, prosedur baharu itu turut menggugurkan keperluan menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara yang tiba di Malaysia di bawah program LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

KKM turut menggugurkan keperluan menjalani ujian kendiri RTK-Ag bagi pengembara umum dari United Kingdom yang sebelum ini perlu dilakukan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

KKM juga menggugurkan keperluan Pegawai Pengiring  bagi pelawat perniagaan jangka pendek yang menggunakan kemudahan One-Stop Centre (OSC) untuk memasuki Malaysia. 

Walaubagaimanapun ujian pengesanan COVID-19 yang perlu dijalankan dua hari sebelum berlepas dan ketibaan di negara ini masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini