Guru-guru dan kakitangan sekolah-sekolah di Melaka disaran melaksanakan ujian kendiri COVID-19 sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, walau tidak diwajibkan namun beliau berharap ia dapat dilaksana demi kesihatan pelajar khususnya yang berada di asrama.

Beliau ditemui selepas meninjau Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar, Jasin yang melaporkan seorang pelajar asrama positif COVID-19, 1 Disember lalu.

Kes positif itu bergejala sejak 23 November, namun ujian RTK ke atas pelajar terbabit bersama 95 pelajar lain didapati negatif

Bagaimanapun, pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan mengasingkan pelajar bergejala.

Keputusan ujian PCR pelajar terbabit pada 30 November didapati positif dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC, Ayer Keroh.

Jelas Dr Akmal, berikutan pematuhan SOP ketat, hanya seorang kontak rapat dikuarantin manakala bakinya meneruskan sesi persekolahan seperti biasa selepas proses sanitasi dilaksana.

Punca kes positif Covid 19 itu masih dalam siasatan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini