Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari ini menjelaskan bahawa penentuan hak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) diputuskan bersama menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma melibatkan wakil kesemua 14 negeri.

Penjelasan itu susulan wujud kekeliruan berhubung hak penganjuran temasya berkenaan.

MSN dalam kenyataan memaklumkan pendekatan terpakai adalah penggiliran mengikut zon dan setiap negeri diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah temasya yang menjadi platform pertandingan untuk atlet berumur bawah 21 tahun.

Menurut MSN, sistem pusingan tuan rumah Sukma mengikut zon mula dilaksanakan pada 2002 di Sabah.

Mesyuarat khas itu turut memutuskan MSN akan menganjurkan Sukma ke-21 bersama-sama Selangor atau Wilayah Persekutuan pada 2024 sementara Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026.

Bagaimanapun, MSN menjelaskan Johor memohon kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma supaya diberikan hak penganjuran Sukma 2024 dan mesyuarat pada Oktober 2021 meluluskan permohonan itu serta MSN selaku tuan rumah pada Sukma 2022.

Dalam pada itu, MSN berkata hak Kelantan selaku tuan rumah Sukma ke-22 pada 2026 tetap kekal seperti diputuskan sebelumnya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini