Aksi Kelayakan Piala Asia 2023. Hajat skuad Harimau Malaya untuk mengutip sekurang-kurangnya 1 mata ke atas Bahrain tidak kesampaian apabila tewas 1-2 pada aksi kedua Kumpulan E malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini memilih laluan sukar untuk ke pusingan akhir kempen berkenaan dan perlu menang ke atas Bangladesh pada aksi terakhir Selasa ini.

Jaringan penalti Bahrain pada lewat permainan meleburkan impian skuad negara untuk melakar kejutan selepas mempamer aksi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

Beraksi di padang becak akibat hujan lebat yang turun pada sebelah petang, jelas membuatkan Bahrain begitu bergelut di atas padang manakala ia dilihat memberi kelebihan bagi skuad negara.

Selepas berjaya memberi ancaman kepada Bahrain menerusi beberapa percubaan daripada Nazmi Faiz Mansor dan Junior Eldstal di babak pertama, Harimau Malaya akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-55 menerusi Mohamadou Sumareh.

Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan dua minit selepas Ali Abdula Haram yang tidak dikawal rapi berjaya menyamakan kedudukan buat Bahrain.

Hajat skuad negara untuk terus memburu gol juga musnah apabila Bahrain menggandakan jaringan pada minit ke-81 menerusi penalti Abdulla Yusuf Helal.

Sepakan berkenaan dihadiahkan pengadil susulan kekasaran dilakukan Farizal Marlias terhadap Ali Jaafar Madan ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan gol Malaysia. Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan, sekali gus menyaksikan Bahrain melonjak ke tangga teratas dengan enam mata, manakala Malaysia pula di kedudukan kedua dengan terikat 3 mata bersama Turkmenistan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini