Pencapaian skuad projek khas lelaki negara menduduki tempat kelapan daripada 16 pasukan bertanding di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2021 masih wajar diberi pujian.

Meskipun gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada edisi sebelum ini, namun skuad kendalian Wallace Tan itu berjaya melepasi sasaran yang diletakkan iaitu mara ke suku akhir.

Skuad hoki remaja negara terpaksa akur menamatkan kempen di Bhubaneswar, India di kedudukan kelapan selepas tewas 4-1 kepada Sepanyol pada penentuan posisi berkenaan semalam.

Namun, pujian harus diberikan kepada pemain muda negara yang tidak gentar berdepan pasukan Eropah yang memiliki kelebihan dalam segi fizikal  dan berjaya memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan.

Malaysia mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan A, selepas menewaskan Chile 2-1 sebelum terikat 1 sama dengan Belgium dan mengalahkan Afrika Selatan 4-3 pada aksi terakhir.

Namun di peringkat kalah mati, Malaysia dibenam 4-0 oleh Perancis di suku akhir sebelum dibelasah 9-3 oleh Belanda dalam penentuan tempat kelima-kelapan pada Jumaat.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Dunia Remaja ialah dengan menduduki tempat keempat sebanyak tiga kali, iaitu edisi sulung pada 1979, 1982 dan 2013.

Anak buah Wallace selepas ini akan membuat persediaan untuk menghadapi JWC seterusnya, dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah edisi 2023 buat kali keempat, selepas 1982, 1989 dan 2009.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini