Hoki Piala Dunia Remaja.

Skuad muda negara mencipta kejutan selepas mengikat keputusan seri 1-1 menentang pasukan gergasi Eropah dan naib juara edisi 2016, Belgium dalam perlawanan kedua Kumpulan A di Bhubaneswar, India malam tadi.

Aksi di Stadium Kalinga itu menyaksikan pasukan bimbingan Wallace Tan terlebih dahulu berada di depan.

Amirul Hamizan Azahar memanfaatkan gerakan susulan daripada pukulan sudut penalti untuk merobek gawang lawan pada minit ke-29.

Pertahanan Malaysia kental bertahan untuk mengekalkan kelebihan itu, namun memasuki suku keempat, pukulan sudut penalti Belgium yang disudahkan Thibeau Stockbroekx pada minit ke-49 memberikan gol penyamaan.

Dengan keputusan itu, Malaysia kekal berada di tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata, selain hanya dibezakan jumlah jaringan dengan pendahulu, Belgium.

Selepas ini, skuad negara akan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan berdepan pasukan di tangga ketiga, Afrika Selatan, bagi penentuan tempat ke suku akhir malam esok.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini