Pemilik sebuah resort dan bot penumpang di Perairan Pulau Tokong, Mersing, Johor, didenda RM5,000, selepas mengaku bersalah beroperasi tanpa anggota mencukupi seperti disyaratkan pegawai pelabuhan, mengikut Akta Perkapalan Saudagar 1952.

Pengakuan dibuat di hadapan Majistret Rashida Baharom di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam.

Menerusi Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, pendakwaan dibuat mengikut Kaedah 12 Peraturan Bot 1953 terhadap syarikat Winter Snow Sendirian Berhad.

Pendakwaan dikendali Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Azlan Bohari, manakala syarikat tidak diwakili peguam.

Maritim telah mendakwa syarikat resort dan bot yang terlibat dalam kejadian selepas membuat siasatan lanjut ke atas pengusaha resort dan bot, serta pengendali bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan atau kecuaian yang berlaku di perairan Pulau Tokong Sanggol.

6 April lalu, empat penyelam warga asing hilang semasa latihan selaman di kepulauan berkenaan. Tiga termasuk jurulatih selam selamat, manakala remaja lelaki masih hilang hingga kini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini