Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India disifatkan sebagai tindakan provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam untuk bertindak balas, namun perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama.

Jelas beliau, tindak balas itu juga perlu dilakukan tanpa terjerumus dalam provokasi yang cuba ditimbulkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 di Subang Jaya, Selangor pada Khamis.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Persidangan sehari itu menghimpunkan wakil dari 20 negara di rantau Asia dalam berkongsikan tentang konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat serta membawa mesej penyatuan ummah.