Jabatan Perangkaan akan diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.
Keputusan dibuat, pada mesyuarat pertama Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi kenyataan media, Perdana menteri memaklumkan Ketua Pegawai Data (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan, agensi persekutuan dan negeri.
Pelantikan dibuat mulai tahun ini secara berperingkat.
Proses itu bagi melicinkan pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.
MSDN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.
Ia dianggotai menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan yang bertindak sebagai Sekretariat.
Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara bagi memacu kerjasama antara kementerian dan agensi, serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda berpandukan hala tuju MSDN.