Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan bekerjasama dengan semua Pengarah Perhutanan Negeri untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, JPSM diarah mengemukakan laporan itu dengan langkah mitigasi yang boleh dilaksana dalam tempoh sebulan.

Aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron akan diguna pakai bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan.

Kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang sistem amaran awal akan dikenal pasti untuk pemasangan segera bagi memastikan keselamatan penduduk dan orang awam.

Tegasnya, kementerian mengambil serius insiden lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa negeri ekoran hujan lebat dan banjir besar.

Justeru, aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan akan dikawal melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’.

Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-79 pada 2 Disember lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil pendirian tegas berhubung kelestarian sumber asli negara iaitu pelaksanaan moratorium ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 15 tahun.

Ia termasuk pelaksanaan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini