Jasad bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh yang meninggal dunia Rabu lepas, selamat disemadikan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi di Shamshan Bhoomi Wake Hall, Jalan Loke Yew, hari ini.

Jasad Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby yang dibawa dari Nirvana Memorial Center di Taman Nesa Skudai, Johor, pada 7.20 pagi tadi tiba di pusat pembakaran mayat itu pada pukul 11.30 pagi.

Terdahulu, mereka yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang yang juga merupakan tunjang utama pertahanan Kuala Lumpur pada era 80-an sebelum pengurusan jasadnya disempurnakan kira-kira pukul 3.57 petang.

Selain isteri mendiang, Harbans Kaur serta dua anaknya Natassha Kaur dan Sonuljit Singh, turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Rakan seperjuangan Datuk Santokh Singh, bekas pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh, jurulatih Melaka United FC Zainal Abidin Hassan dan bekas pemain Kuala Lumpur T. Gopinath Naidu juga hadir.

Shebby meninggal dunia ketika berbasikal di Iskandar Puteri, Johor kira-kira 7.30 malam, Rabu lepas.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini