Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM700,000 bagi membeli sekurang-kurangnya 10,000 naskhah al-Quran.

Ia akan diagih kepada masjid, surau, sekolah dan pihak yang terkesan ekoran banjir di Wilayah Persekutuan.
 
Inisiatif tersebut dilaksanakan susulan terdapat banyak naskhah al-Quran rosak dan musnah akibat banjir, sama ada dialami oleh individu atau institusi.

Sehingga kini sebanyak RM170,000 telah diterima dari beberapa pihak antaranya Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP dan Lembaga Tabung Haji.
 
Masjid Wilayah Persekutuan juga turut menyerahkan 200 naskhah al-Quran waqaf sumbangan pusat percetakan Al-Quran, Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Shah Alam yang terkesan akibat banjir.
 
JAWI melalui Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah turut melaksanakan perkhidmatan pelupusan Al-Quran dengan menerima sejumlah 25,000 kilogram Al-Quran rosak daripada individu, sekolah, dan beberapa pihak lain untuk dilupuskan.

Mereka yang berminat boleh menghulurkan infaq dan sumbangan melalui kod QR yang disediakan di 89 masjid di seluruh Wilayah Persekutuan atau melalui Akaun Masjid Wilayah Persekutuan 14023010023833 (Bank Islam Malaysia Berhad) yang berlangsung selama sebulan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini