Tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula, sejajar Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021.

Menerusinya, urusan mandi dan kapan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan. Bagi jenazah Islam, prosesnya perlu dilakukan pengendali jenazah terlatih di hospital.

Hanya dua waris yang lengkap vaksinasi COVID-19 dan memakai PPE penuh serta bersesuaian dibenar menyertai urusan mandi dan kapan jenazah.

Aktiviti berunsur ‘Prosedur Penghasilan Aerosol”‘ (AGP) seperti menekan perut jenazah, perlu dielakkan.

Bagi jenazah bukan Islam, sekiranya prosedur ‘last rite’ memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan jenazah tanpa melibatkan aktiviti AGP.

Hanya dua waris yang lengkap vaksinasi COVID-19 dan memakai PPE penuh serta bersesuaian dibenar menyertai prosedur last rite.

Selain itu, satu beg mayat sahaja perlu digunakan bagi setiap jenazah dijangkiti COVID-19 berbanding dua beg sebelum ini. Untuk pengebumian jenazah, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat, tetapi perlu memakai PPE bersesuaian.

Jumlah kehadiran untuk menyaksikan proses pengebumian jenazah juga tidak ditentukan. Bagaimanapun, individu yang hadir digalak memakai pelitup muka dan elak bersesak-sesak.