Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei ini.

Jumlah deposit TH meningkat hampir 16 peratus kepada RM88 bilion daripada RM75.92 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2020.

Menerusi Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24, TH menyasarkan jumlah deposit sebanyak RM100 bilion.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Mohamed Ameen Abdul Wahab menyatakan peningkatan itu sesuatu yang agak ketara apabila deposit bersih bulanan juga mencecah lebih RM1 bilion.

Untuk rekod, TH telah mencatatkan deposit bersih sebanyak RM1.1 bilion bagi April lepas, antara deposit bersih bulanan tertinggi setakat ini, menggambarkan keyakinan orang Islam di Malaysia kepada TH.

TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10 peratus bagi 2021 yang memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya melibatkan jumlah agihan RM2.46 bilion berbanding RM2.24 bilion yang diagih pada 2020, peningkatan sebanyak RM219 juta.

TH sentiasa komited untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha menggalakkan seluruh umat Islam di Malaysia agar mempunyai akaun Tabung Haji.

Setakat ini, kira-kira 55 peratus umat Islam di Malaysia masih belum mempunyai akaun TH.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini