Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu untuk memasuki rumah transit di Taman Seroja, Sepang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superitendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 12.10 tengah hari ketika pemandu van menghantar mangsa ke rumah transit sebelum ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). 

Jelasnya, setelah menurunkan semua pelajar, pemandu van bergerak ke hadapan tanpa menyedari mangsa yang sedang melintas di hadapan van dan melanggarnya hingga cedera parah di bahagian kepala.

Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Beliau berkata pemandu wanita berusia 31 tahun itu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini