Saksi kelima pendakwaan mengakui kecederaan melecur dialami remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Yasmin Nahar Mahmood, salah seorang penghuni Rumah Bonda bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun Ahd Razali bahawa Bella ketika itu bermain dengan termos di sebuah bilik sebelum air termos tertumpah dan terkenanya.

Yasmin juga bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa dia ada memberitahu perkara sama ketika memberi keterangan kepada pihak polis di lobi kondominium, pada 7 Julai tahun lalu.

Dalam prosiding sebelum ini, Yasmin mendakwa Siti Bainun mengarahkannya menyimbah air panas diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella.

Dalam pada itu, Yasmin tidak bersetuju apabila peguam Nur A’minatul mencadangkan dia sengaja memberi keterangan palsu untuk memastikan Siti Bainun dipenjarakan.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berhubung kewujudan kain yang didakwa disumbat pada mulut oleh Siti Bainun, saksi itu berkata dia tidak memaklumkan kepada pihak polis mengenai insiden itu selepas Siti Bainun menyuruhnya tidak berbuat demikian.

Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbicaraan bersambung hari ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini