Kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Digantung atau dibebaskan sudah pasti persoalan ini yang bermain di fikiran 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain pada empat tahun lalu.

Keputusan dijangka pada 10 pagi ini yang akan dibacakan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah. Nasib mereka akan diketahui tidak lama lagi iaitu di akhir kes pembelaan.

Enam daripada mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri yang berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali atas dakwaan bersubahat membunuh.

Manakala 12 penuntut yang lain didakwa kerana mencederakan mangsa dengan sengaja sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Tindakan mereka bertujuan memeras Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan daripada mangsa bahawa dia telah mencuri komputer riba.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di penginapan asrama di UPNM antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi pada 21 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 dan selamat dikebumikan pada 2 Jun 2017 di Johor Bahru.

Sejak perbicaraan berlangsung pada Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan tampil memberikan keterangan termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang serta dua saksi mata yang melihat perbuatan mereka menekap seterika wap ke badan mangsa.

Manakala pihak pembelaan memanggil seramai 20 saksi termasuk Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh dan seorang lagi penuntut UPNM pada Oktober 2019.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi dan Mohd Josiendra Abu Senin manakala barisan peguam yang mewakili kesemua tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Fadly Hashim, Varunchelvam dan Fatimah Azzahrah Rumaizi. Bapa Zulfarhan Osman iaitu Zulkarnain Idros, ibunya Hawa Osman serta adik Zulfarhan turut hadir pada prosiding di akhir kes pembelaan Zulfarhan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini