Pemberian bantuan berbentuk geran khusus dipertimbang bagi meringankan beban ditanggung oleh usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peniaga informal, yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata; persetujuan secara prinsip itu, dicapai pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), yang dipengerusikan beliau.

Menerusi satu kenyataan, Perdana Menteri memaklumkan, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

Lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti juga, akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

Inisiatif geran khusus itu, akan diumumkan, setelah diperhalusi dan dimuktamadkan.

Jelas Perdana Menteri, cadangan itu dibuat susulan perbincangan terperinci mengenai impak banjir ke atas PMKS dan peniaga informal.

Mesyuarat  turut mendengar keluhan  dua  usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk, bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

Kerajaan sebelum ini telahpun memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion  merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir

Perdana Menteri berkata, Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini