Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Melalui inisiatif ini, kerajaan telah melaksanakan penambahbaikan bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Ini meliputi pemberian RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas akibat banjir dan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

Melalui satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

Kerajaan juga akan memastikan segala bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

Beliau turut menyatakan kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI bermula 27 Disember lalu dan dijangka selesai minggu ini.

Namun, Selangor dan Pahang dijangka mengalami sedikit kelewatan berikutan jumlah mangsa yang ramai.

Setakat data terkini, lebih 30,000 Ketua Isi Rumah telah didaftarkan untuk menerima BWI.

Pihak NADMA juga telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri.

Selain itu, seramai 25 orang waris telah menerima bantuan RM10,000, setakat ini. 

Dalam pada itu, Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir.

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

Datuk Seri Ismail Sabri turut menjelaskan setakat semalam, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini