Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun. Siti Bainun, 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja itu, telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

Hakim menetapkan perbicaraan kes berlangsung 15 hari bermula 30 Mac tahun depan, manakala sebutan semulakes ditetapkan pada 6 Januari. 20 Ogos lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan remaja terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi, di lokasi dan masa yang sama.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini