Bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Isnin ini, Khutbah khas Solat Jumaat bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku, Rahmat Selalu’ disampaikan di masjid-masjid seluruh negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, ibu negara.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada pukul 1.07 minit tengah hari, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Seri Paduka Baginda kemudiannya menyertai jemaah masjid, mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz @ Saari.

Khutbah khas ini,  menyentuh mengenai amalan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan paling tinggi dan memiliki fungsi melindungi agama serta negara selain menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.

Malaysia juga melihat kebijaksanaan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu, yang mengambil beberapa keputusan bijak menstabilkan negara, dalam menghadapi kemelut politik dan cabaran ketika dilanda pandemik COVID-19.

Mengakhiri khutbah, seluruh rakyat Malaysia diminta supaya meneruskan hubungan baik dengan pemerintah dengan masing-masing saling mendoakan, bersesuaian tuntutan agama.

Pada masa sama, menjauhkan diri daripada perbuatan jahat dan sangkaan buruk terhadap pemerintah.

Selesai solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah, berkenan beramah mesra, bersalaman serta berswafoto dengan beberapa jemaah, sebelum berangkat pulang ke Istana Negara.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini