Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

Ia susulan laporan kenaikan harga sayur yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid berkata setakat hari pertama, 43 premis dan 131 jenis sayur telah diperiksa meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.

Bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab; manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.

Pada masa sama, 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan memberi maklum balas berhubung saranan kementerian kepada syarikat itu untuk menangguhkan sementara kenaikan harga roti, esok.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini