Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar, berjumlah RM48.02 bilion, bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021.

Jumlah itu meningkat 7.7 peratus pada tempoh yang sama 2020.

Bagaimanapun, jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 susut kepada RM13.97 bilion, berbanding RM17.33 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, ekuiti kekal penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan kasar dengan 54 peratus atau RM7.50 bilion.

Pelaburan dalam pendapatan tetap pula menyumbang RM5 bilion.

Manakala hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang RM1.18 bilion dan RM0.29 bilion.

Secara keseluruhan, aset pelaburan KWSP berjumlah RM988.55 bilion.

36 peratus daripadanya melibatkan pelaburan luar negara.

Bagi prospek tahun ini, pembukaan semula ekonomi dijangka menyokong pemulihan secara beransur-ansur.

KWSP akan merancakkan usaha membina semula simpanan persaraan serta melebarkan jaringan keselamatan sosial. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini