Lebih 98 peratus pekerja di dalam industri pembuatan yang berdaftar di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin wabak tersebut.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia merupakan peratusan daripada lebih 900,000 pekerja yang dijadualkan mendapat suntikan di bawah PIKAS. Jelasnya, jumlah tenaga kerja dalam sektor pembuatan di dalam negara kira-kira 2.2 juta orang.

Sebahagian daripadanya telah mengambil suntikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan juga secara jumpa terus. Tambahnya, kementeriannya menyasarkan untuk melengkapkan proses imunisasi kepada pekerja industri di bawah PIKAS selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.

Beliau juga telah memohon kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan supaya dapat menambah bekalan vaksin bagi program tersebut. Langkah mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja industri adalah amat penting kerana sektor pembuatan merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini