Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori treler dan terbabas, pagi tadi. 

Kemalangan berlaku kira-kira 9.40 pagi di kilometer 357.5, Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun, Terengganu. 

Mangsa, Chow Soon Khong, 20 tahun, maut di lokasi kejadian.

Mangsa difahamkan dalam perjalanan dari bandar Kuala Terengganu menuju ke Dungun atas urusan perniagaan. 

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa yang dipercayai dipandu agak laju dikatakan cuba memotong lori treler yang membawa muatan kayu balak. 

Kereta mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang lori terbabit sehingga hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan. 

Mangsa tercampak keluar dari kereta dan mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh sepasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi yang tiba di lokasi. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini