Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengutuk serangan dron terhadap kediaman rasmi Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi.

Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 ahli turut mendesak pelaku dan pihak yang bersekongkol dalam serangan itu dipertanggungjawabkan serta dikenakan tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, semua negara digesa bekerjasama secara aktif dengan kerajaan Iraq serta pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Anggota Majlis Keselamatan juga mengulangi pendirian bahawa keganasan adalah jenayah dan tindakan tidak wajar tanpa mengira motif, tempat, masa serta pelaku.

Mustafa dilaporkan selamat manakala dua pengawal peribadinya cedera.

Serangan membabitkan tiga dron dengan dua daripadanya berjaya dipintas.  

Serangan itu berlaku selepas dua hari pasukan keselamatan bertempur dengan penyokong parti disokong Iran, yang kehilangan sokongan dalam pilihan raya baru-baru ini.

Serangan berlaku walaupun seorang daripada pemimpin kumpulan pro-Iran, Assaib Ahl al-Haq, menggesa pelaku dibawa ke muka pengadilan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini