Selepas 43 tahun, Malaysia akhirnya berjaya menamatkan penantian melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Piala Asia 2023 dalam suasana penuh emosi di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam tadi.

Kejayaan itu hadir selepas skuad Harimau Malaya bimbingan jurulatih Kim Pan Gon berpesta gol membelasah Bangladesh 4-1, pada aksi terakhir Kumpulan E kelayakan kempen tersebut.

Kemenangan yang disaksikan lebih 50,000 penonton itu memastikan Malaysia mengumpul enam mata untuk menamatkan kempen di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus muncul antara lima naib juara terbaik kumpulan.

Keempat-empat gol pasukan negara dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan Darren Lok. Tambah Pan Gon, meskipun pemain Harimau Malaya berjaya mendominasi permainan, namun beliau berasakan masih terdapat beberapa elemen yang perlu diperbaiki.

Kali terakhir Malaysia mara secara merit ke Piala Asia ialah pada edisi 1980 di Kuwait dan penampilan terakhir Harimau Malaya pula ialah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007 di Kuala Lumpur.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini