Malaysia berharap Program Petempatan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) mengiktraf Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia (SDGs Malaysia). Ia ke arah mewujudkan Bandar Raya Mampan menjelang 2030.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kementeriannya telah membangunkan program di mana, 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan pelan tindakan SDGs dan seterusnya membentangkan  laporan ‘Voluntary Local Review’ (VLR).

Tambah Beliau, pihaknya turut berharap UN-Habitat seterusnya memberikan akreditasi kepada bandar raya negara di bawah program induk UN-Habitat SDG Bandar Raya.

Jelas beliau, sehingga kini, Kuala Lumpur, Subang Jaya dan Shah Alam telah menyerahkan laporan VLR masing-masing, manakala empat lagi sedang dalam proses iaitu Alor Gajah, Sepang, Selayang dan Bandaraya Melaka.

Beliau bercakap dalam satu kenyataan selepas bertemu dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif. Datuk Seri Reezal Merican, yang mengetuai delegasi Malaysia pada Forum bandar Sedunia ke-11 (WUF11) menyampaikan anugerah Tokoh Perancang Bandar Malaysia 2021 kepada Datuk Seri Maimunah.

Tambah beliau lagi, Malaysia ingin bekerjasama dengan UN-Habitat untuk meningkatkan kapasiti teknikal tempatan untuk mempercepatkan pelaksanaan bandar pintar negara.