Malaysia dan Indonesia sedia meneliti lebih lanjut kerangka Koridor Perjalanan membabitkan rakyat kedua-dua negara. 

Menteri Luar; Datuk Saifuddin Abdullah berharap perbincangan mengenainya dibangkitkan dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini. 

Ia juga susulan pengumuman Malaysia-Singapura semalam untuk membuka kembali perjalanan rentas sempadan melalui udara menggunakan Lorong Perjalanan Vaksinasi (VTL), mulai 29 November.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur dan Jakarta akan memperhalusi cadangan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi, melalui aplikasi pemantauan negara masing-masing — MySejahtera dan PeduliLindungi.

Bulan lalu, Datuk Saifuddin berkata pengiktirafan bersama sijil itu akan menyumbang ke arah pembukaan semula sempadan secara berperingkat, serta merangsang aktiviti ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak.

Datuk Saifuddin ditemui media pada majlis penyerahan 15 karya seni kepada Wakil Tetap Malaysia ke Asean, Kamsiah Kamaruddin. 

Antaranya, Tengkolok Diraja “Dendam Tak Sudah”, Kain Tenun Pahang, Gong Tradisional Malaysia, Gambar Pemandangan KLCC dan Bakul Sia. Karya tersebut adalah bentuk pertukaran budaya negara Asia Tenggara yang akan diletakkan di Galeri Sekretariat Asean di Jakarta.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini