Malaysia dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh. Buat pertama kalinya satu Memorandum Persefahaman mengenainya bakal ditandatangani dan dilaksana awal tahun hadapan.

Dalam kenyataan media, selepas pertemuan dengan Prabowo, Datuk Seri Hishammuddin memaklumkan, latihan  bersama, pasukan keselamatan  kedua-dua negara akan diteruskan dalam usaha menangani ancaman pengganas iaitu melalui  ‘MALINDO DARSASA’ yang akan diadakan pada tahun hadapan di Malaysia.

Latihan bersama itu, akan melibatkan kerjasama ketiga- tiga cabang perkhidmatan angkatan tentera serta pasukan polis kedua-dua negara.

Mesyuarat juga menyentuh tentang Kawalan Keselamatan Di Sempadan negara yang akan dipertingkat menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) terutamanya menerusi pengoperasian Pos-Pos Gabungan.

Menurut Datuk Seri Hishammuddin, beliau dan Prabowo berkongsi pandangan mengenai kepentingan setiap negara ASEAN dalam mengukuhkan diplomasi pertahanan demi kepentingan keselamatan serantau.

Tambah beliau, penglibatan bersama antara Perkhidmatan Kesihatan angkatan tentera kedua-dua negara juga perlu ditingkatkan terutama menerusi perkongsian amalan terbaik berkaitan pemberian vaksin, kaedah rawatan dan pendekatan ujian saringan COVID-19.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini