Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke Jepun berjaya mencapai objektif membina kerjasama baharu berkaitan industri tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim.

Bukan sahaja menaik taraf hubungan kepada rakan kongsi komprehensif yang disambut baik rakan sejawatannya, Fumio Kishida, beliau yakin lebih banyak peluang baharu dalam semua sektor dapat diteroka dan dimanfaatkan. 

Datuk Seri Ismail Sabri juga menghargai maklum balas positif Kishida terhadap kesepakatan yang dipersetujui dalam konteks pengukuhan hubungan dan kerjasama Malaysia Jepun.

Ini terutama sokongan dan bantuan Tokyo dalam usaha pembangunan Malaysia menerusi Dasar Pandang Ke Timur.
 
Kedua-dua pihak bersetuju perbincangan lanjut diadakan bagi menetapkan pelan tindakan susulan untuk merealisasikan Rakan Kongsi Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun. 

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media di Tokyo, mengakhiri lawatan kerja rasminya ke Jepun.
 
Mengenai pelanjutan Dasar Pandang Ke Timur, fokus Malaysia menurut Perdana Menteri telah berubah daripada membawa pelaburan dan pembangunan sektor pembuatan kepada ekonomi digital dan sektor tenaga. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini