Malaysia melakar kemenangan sulung 2-1 ke atas Chile pada aksi pembukaan Kumpulan A  Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki FIH 2021 yang berlangsung di Bhubaneswar, India, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menduduki tangga kedua dengan terikat 3 mata bersama pendahulu Belgium.

Pada aksi tersebut, Malaysia dan Chile saling berbalas serangan, namun gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama.

Skuad kendalian Wallace Tan bangkit dengan aksi lebih bertenaga di babak kedua dan berjaya memecah kebuntuan selepas Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-34 untuk gol pendahuluan Malaysia.

Sembilan minit kemudian, Syarman Mat Tee menggandakan jaringan menerusi satu lagi pukulan sudut penalti yang disudahkan dengan baik. 

Chile yang menjuarai Kejohanan Remaja Lelaki Seantero Amerika 2021 cuba bangkit dan mendapat gol sagu hati menerusi pukulan sudut penalti Sebastien Wolansky seminit sebelum permainan tamat.

Terdahulu, naib juara 2016, Belgium membenam Afrika Selatan 5-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A.

Malaysia dijadual berdepan Belgium pada Jumaat ini sebelum mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan bertemu Afrika Selatan sehari kemudian.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini