Negara masih mempunyai ruang fiskal mencukupi untuk mengimbangi keperluan rakyat dan perniagaan biarpun berdepan tekanan luaran.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, kerajaan dijangka membelanjakan lebih RM77 bilion bagi tujuan subsidi tahun ini untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun untuk jangka panjang, mekanisme subsidi bersasar bakal diperkenal, menyasarkan kelompok yang benar-benar memerlukan khususnya B40. Tambahnya, sebagai negara kecil dengan ekonomi terbuka, Malaysia turut terdedah kepada ketidaktentuan faktor global yang mempengaruhi ekonomi negara.

Antaranya ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan selain langkah membendung inflasi melalui kenaikan kadar faedah dilakukan negara maju. Beliau berkata demikian dalam program Bicara Khas sempena Laporan Kewangan Rakyat ke-100 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.