Malaysia menyatakan beberapa inisiatif dan komitmen dalam aspek perbandaran mapan ke arah melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu.

Ia seiring dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) serta agenda pembangunan global yang lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mewakili negara ke sesi Meja Bulat di World Urban Forum ke-11 (WUF11) berkata Malaysia komited memperkenalkan pelbagai strategi termasuk Dasar Perbandaran Negara 2006.

Selain itu penetapan hala tuju dan sasaran Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) di peringkat PBT, kemudahan perumahan rakyat, Program jaringan Digital Negara (JENDELA), rangka tindakan ekonomi kitaran dan Indeks Daya Huni Malaysia turut dikongsikan dalam sesi meja bulat berkenaan.

Sesi meja bulat yang diadakan di Katowice, Poland itu disertai menteri dan pemimpin tertinggi kerajaan dari 24 negara seluruh dunia.