Sejarah baharu tercipta apabila Malaysia bakal melancarkan satelit MEASAT-3D, Khamis ini sekali gus meningkatkan perkhidmatan perhubungan antara negara serantau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelancaran satelit baharu itu membolehkan Malaysia memperkukuhkan era digital berteraskan teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos ini.

Selain itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit ini untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada 3 hingga 5 peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar, seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Ia juga bakal merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Pelancaran satelit kelapan itu akan dilakukan di French Guiana, Amerika Selatan pukul 5.03 minit pagi Khamis waktu tempatan.

Satelit MEASAT-3D mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar pantas dan menyokong aliran tinggi data.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini