MEASAT-3D, satelit baharu MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd bakal dilancarkan pada 22 Jun ini bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan menawarkan liputan meluas dan pengalaman jalur lebar lebih baik.

Satelit komunikasi itu dibangunkan oleh Airbus dengan kos RM1.2 bilion dan mempunyai jangka hayat sehingga 18 tahun.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata satelit MEASAT-3d juga bakal menggantikan peranan satelit komunikasi MEASAT yang tidak lagi berfungsi.

Dengan pelancaran satelit ini, beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan Ogos ini.

Ia bakal menawarkan sokongan pemindahan data berkapasiti tinggi termasuk pancaran internet melalui satelit sehingga 100Mbps, disamping pancaran kandungan untuk televisyen dan telekomunikasi.

Ia dijangka menghubungkan 3 hingga 5 peratus populasi yang sukar dicapai menggunakan talian fiber di Malaysia.

MEASAT berupaya meningkatkan daya pemprosesan kapasiti jalur lebar 10 kali ganda daripada 3Gbps ketika ini kepada 30Gbps, sekali gus membolehkan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi walaupun di kawasan yang terhad atau tiada sambungan darat.

MEASAT-3D dijadual dilancarkan dengan menggunakan roket Ariane 5 dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah di Kourou, Guiana Perancis pada pukul 6.03 minit petang waktu Perancis bersamaan 5.03 minit pagi waktu Malaysia pada 23 Jun ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini