Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan mengerahkan lebih 300,000 askar sebagai persiapan menghadapi ancaman Russia. 

Langkah itu sebagai tindak balas pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata, 30 negara anggota menganggap Russia sebagai ancaman terbesar.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat di ibu pejabat NATO di Brussels.

Antara kebimbangan utama, kemungkinan Presiden Vladimir Putin menyerang Latvia, Lithuania dan Estonia.

NATO juga akan memperkukuh unit yang ditempatkan di lapan negara di timur dan tenggara Eropah bagi menghalang pencerobohan Kremlin.

Saiz pasukan juga akan ditingkatkan kepada peringkat briged daripada 3,000 hingga 5,000 anggota tentera.

Lebih banyak senjata berat termasuk sistem pertahanan udara akan ditempatkan di barisan hadapan.

Manakala lebih ramai askar akan dikerah untuk mempertahankan anggota NATO tertentu.