Wilayah Ekonomi Koridor Utara,NCER merekodkan nilai pelaburan RM21.41 bilion  tahun ini, meskipun berdepan cabaran pandemik. Jumlah tersebut meningkat 34 peratus sekaligus melepasi sasaran awal, RM16 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu dipacu peranan strategik dan pelan tindakan proaktif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara -NCIA dalam menangani pemulihan pasca pandemik. Kejayaan NCER itu seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025.

Datuk Seri Ismail berkata demikian menerusi kenyataan setelah mempengerusikan mesyuarat NCIA ke-27 bagi pembangunan NCER menerusi sidang video. Pembuatan kekal sektor utama NCER dengan menyumbang 32 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar wilayah berkenaan.

Jumlah pelaburan diluluskan bagi sektor berkenaan meningkat 304 peratus daripada RM11.8 bilion pada separuh pertama 2020, kepada 47.91 bilion ringgit bagi separuh pertama tahun ini.

Menerusi pendekatan serampang tiga mata NCER, nilai ekonomi wilayah berkenaan disasar 300 bilion ringgit dan mewujudkan 161,197 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan swasta 146.5 bilion ringgit menjelang 2025.

Sejajar konsep Keluarga Malaysia, 65,000 individu termasuk wanita, belia dan komuniti orang asli telah mendapat manfaat daripada program modal insan berpaksikan rakyat oleh NCIA.

Manakala, lebih 12,000 isi rumah daripada golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam data eKasih dan iDamak diberi bantuan keperluan asas dan penjagaan kesihatan menerusi program Kasih Ibu NCER di Kedah, Perak dan Perlis.

Sehingga kini, 600 penerima telah menyertai program empowerNCER dan JomNiaga@NCER dan mampu menjana pendapatan sendiri.

Berikutan kejayaan tersebut, lebih 5,000 peserta lagi akan menyertai program sama dalam usaha mencapai sasaran Sifar Miskin Tegar RMKe-12 menjelang 2025.   

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini