Sebanyak 1,446 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan Polis Perak dalam Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina semalam.

Dalam operasi yang dijalankan di 12 lokasi serentak bermula pukul 8 pagi hingga 7 malam itu, sebanyak 1,247 saman adalah akibat kesalahan memandu laju.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintenden Azizan Hassan berkata, sebanyak 65 kesalahan adalah berkait nombor plat kenderaan, 45 tidak memakai tali pinggang keledar dan 35 lagi tiada lesen memandu.

Sejumlah 23 saman juga dikeluarkan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), tujuh membabitkan penggunaan telefon bimbit dan empat kerana menggunakan lorong salah dan lain-lain.

Azizan juga menambah, polis telah menahan seorang lelaki Orang Asli berumur 31 tahun yang beralamat di Kampung Mangsok, Rancangan Penempatan Semula Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan kerana disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

Menurut beliau, lelaki yang bekerja di sebuah kilang kayu itu ditahan kira-kira 1 pagi di Ipoh dan akan disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini