Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan memutuskan mengenai pembentukan skuad kebangsaan yang baharu sebagai persediaan awal menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan SEA Hanoi.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, keputusan akan dibuat pada mesyuarat jawatankuasa kerja bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan Jumaat ini, manakala perincian mengenai perkara itu akan diumumkan bulan depan.

Pada September lepas, PABM dan MSN bersetuju membubarkan pasukan kebangsaan berikutan kes doping membabitkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuar.

Keputusan itu turut menyaksikan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet diberi notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November. 

Mengulas mengenai prestasi cemerlang ditampilkan badang negara di kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini, Datuk Ayub berkata PABM amat berpuas hati dengan pencapaian mereka. 

Usaha PABM menubuhkan pasukan sementara itu nyata membuahkan hasil apabila Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan berjaya menempah slot ke temasya Komanwel yang dijadual pada Julai tahun depan.

Seorang lagi badang negara, Muhammad Erry Hidayat yang membawa pulang perak, masih menanti pengesahan mengenai kelayakan ke Birmingham 2022. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini