15 individu termasuk seorang wanita direman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Mereka antara 21 individu berusia antara 31 hingga 77 tahun yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar, semalam.

Enam daripada mereka bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan.

Kesemua yang ditahan berusia 31 hingga 68 tahun dibawa ke lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan memakai baju oren, pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Majistret Alor Setar, Siti Norhidayah Mohd Noor.

Sumber SPRM memaklumkan, kesemua yang ditahan dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Ia bagi membolehkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor dan bekerja sendiri.

SPRM juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut dan sedang mendapatkan dokumen penting selain merakam pernyataan beberapa saksi.

Kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini