Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berjaya menempah tiket ke pentas akhir acara 10 meter platform wanita pada Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary.

Atlet itu dijadual mempersembahkan terjunan pada  7 pagi esok waktu Malaysia, setelah meraih tempat ketujuh pada pusingan separuh akhir, awal pagi tadi.

Beliau berjaya mencatatkan 313.15 mata secara keseluruhan, manakala juara dunia 2019 dari China, Chen Yuxi, 16 tahun mengungguli pusingan itu dengan kutipan 427 mata. Rakan senegaranya berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo, Quan Hongchan berada di tempat kedua, manakala ketiga, Caeli McKay dari Kanada.