Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggerakkan kesemua anggotanya di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kawasan-kawasan terjejas banjir untuk membantu mangsa membuat laporan berkaitan kemusnahan atau kerosakan harta benda yang dialami.

Setakat ini, arahan telah diberikan kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) untuk membantu mereka yang terjejas membuat laporan polis secara manual.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengambil maklum masalah yang dihadapi, mereka yang terjejas banjir juga boleh meminta bantuan mana-mana anggota polis peronda di kawasan terbabit untuk membantu membuat laporan.

Tan Sri Acryl Sani berkata demikian, pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Shah Alam, Selangor. Beliau turut memaklumkan, tujuh laporan polis telah diterima berhubung kes pecah premis termasuk kilang, kedai menjual makanan dan keperluan harian yang kesemuanya masih dalam siasatan.

Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, PDRM telah meletakkan 30 Pasukan Cantas Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan 120 pegawai dan anggota.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini