Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, PEKEMA berharap Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, CPTPP dapat diratifikasi segera bagi merancakkan kembali industri automotif negara, pasca COVID-19.

Presiden PEKEMA Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, melalui pelaksanaan perjanjian ini, Malaysia bakal mendapat manfaat akses pasaran baharu termasuk Kanada, Mexico dan Peru. Pembukaan pasaran baharu bukan sahaja mampu memperkukuh kerjasama ekonomi sedia ada dengan kesemua negara tersebut.

Malah dapat memastikan eksport barangan automotif negara terutama produk komponen dan alat ganti menerima layanan akses pasaran lebih baik melalui inisiatif penghapusan cukai import.

Pengeluar serta vendor perusahaan kecil dan sederhana, PKS dalam sektor automotif, khususnya usahawan Bumiputera, akan kekal berdaya saing dan mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif di bawah CPTPP seperti dinikmati Vietnam.

Beliau turut mengulangi, ratifikasi CPTPP adalah langkah terbaik dalam proses pemulihan ekonomi negara, pasca pandemik.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini