Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh pacuan empat roda.

Insiden berlaku di kilometer satu, Jalan Tok Kah–Jerangau, Dungun, Terengganu.

Kecederaan parah yang dialami Nurul Zahirah Aqrima Mohamad Yasin itu mengakibatkannya meninggal dunia di lokasi nahas.

Sebelum insiden, mangsa baharu sahaja menghantar rakannya di Kampung Alor Mak Bah setelah menghadiri latihan sukan di sekolah.

Ketika keluar dari persimpangan menuju ke kediamannya di Kampung Tak Bah, pacuan empat roda dipandu seorang wanita berusia 41 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.

Akibat rempuhan itu, mangsa dan motosikalnya terseret sejauh kira-kira 21 meter ke kaki lima jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden yang berlaku kira-kira pukul 6.30 petang.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.