Perdana Menteri, mengharapkan pelancaran satelit MEASAT-3d, dapat membantu merapatkan jurang digital, seterusnya menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang aeroangkasa.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan di Facebooknya, berkata, dengan pelancaran satelit itu juga, keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir ke Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bagi menyaksikan secara langsung pelancaran MEASAT-3d dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya Datuk Zahidi Zainal Abidin serta beberapa menteri kabinet.

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos 1.2 bilion ringgit dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menerusi pelancaran satelit itu, Malaysia juga dapat memperkukuhkan kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini selain meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, Satelit MEASAT-3d penting kepada negara dalam mencapai liputan Internet 100 peratus sebelum 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar.

Perkhidmatan satelit  MEASAT-3d itu akan dapat dinikmati rakyat Malaysia selepas tempoh percubaan selesai kira-kira sebulan dari sekarang.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini