Kira-kira 2,700 ahli Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS) membantah tangkapan siput retak seribu menggunakan pukat tunda oleh nelayan luar kawasan dan nelayan asing di perairan Kuala Perlis.

Ini berikutan pendapatan nelayan khususnya yang mencari rezeki dengan siput retak seribu terjejas teruk berikutan pencerobohan tangkapan berkenaan.

Bagi Ketua Biro Ekonomi, Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS), Jasni Hashim, masalah ini berlaku sejak sekian lama dan perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan kekurangan siput retak seribu di perairan Kuala Perlis. Aktiviti menangkap siput secara haram dikesan berlaku setiap malam serta awal pagi.

Justeru itu, pihak berkuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan perlu mengetatkan penguatkuasaan di perairan Kuala Perlis bagi mencegah pencerobohan tangkapan siput retak seribu berkenaan.

Beliau memaklumkannya kepada media selepas bersama-sama ahli PELARIS menyerahkan memorandum bantahan berkaitan isu pukat siput kepada ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap.

Selain itu, permit bagi aktiviti tangkapan siput retak seribu menggunakan pukat tunda tidak diberikan lagi kepada nelayan luar kawasan bagi melindungi nelayan pantai yang bergantung hidup kepada menangguk siput retak seribu.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini