Arena bola sepak tanah air bersedih dengan pemergian bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh pada usia 61 tahun secara mengejut petang semalam.

Mendiang yang lebih dikenali dengan panggilan Shebby meninggal dunia ketika melakukan aktiviti berbasikal di Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan bahawa Shebby meninggal dunia selepas terbabas lebih kurang pukul 7.30 malam.

Lahir pada 20 Ogos 1960, Shebby yang bermain di posisi pertahanan pernah beraksi untuk beberapa pasukan seperti Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang.

Sepanjang karier, mediang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur antara 1987 hingga 1989.

Selain itu mendiang turut menyarung jersi kebangsaan dengan membuat 61 penampilan antarabangsa.

Selepas bersara, Shebby mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula pada 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, mendiang juga pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Telekom Melaka FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini