Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian ahli akademik, Tun Arshad Ayub sebagai kehilangan besar kepada negara. Perdana Menteri berkata, negara kehilangan tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia.

Dalam hantaran di Facebook beliau berkata, Allahyarham adalah seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara. Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi MARA telah melahirkan banyak profesional dan usahawan tekno Melayu di negara ini.

Kini, universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 siswazah. Perdana Menteri berkata, Allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi.

Antaranya, turut terlibat merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara.  Tun Arshad meninggal dunia awal pagi tadi kerana masalah kesihatan. Allahyarham berusia 93 tahun. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini